Mungkin kehidupan Noor Ashikin Osman, 37, bersama anak-anak tidak sesempurna seperti keluarga lain, namun dia tetap mahu memastikan anak-anaknya sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan gigi sebagai rutin penjagaan harian.
Malah penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulut sudah pun mula diberi perhatian sejak usia keempat-empat anaknya masih kecil lagi kerana berpendapat kesihatan gigi merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia.
“Saya sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Setiap kali selepas bangun pagi, rutin wajib yang pertama adalah menggosok gigi. Saya selalu ingatkan anak-anak walaupun hidup kita susah tetapi jangan sesekali abaikan penjagaan gigi.
“Biarlah orang memandang kita hina kerana kesusahan kita, namun orang sekeliling mungkin boleh menerima kita apabila melihat kita mempunyai barisan gigi yang cantik, bersih dan putih,” katanya ditemui ketika menunggu anak-anaknya mendapatkan pemeriksaan gigi ketika program Rawatan Pergigian Untuk Yang Memerlukan (Dentistry For The Needy - DFTN).
Program pemeriksaan dan rawatan gigi percuma untuk golongan gelandangan dan miskin bandar sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur membabitkan kumpulan sukarelawan dari Persatuan Doktor Pergigian Islam Malaysia (IDAM).
Seperti Nor Ashikin dan anak-anaknya, ratusan penghuni kawasan tersebut telah menjadikan program DFTN sebagai rutin bulanan untuk berjumpa dengan sukarelawan yang terdiri daripada kumpulan doktor gigi.
Jika bertuah, mereka juga dapat menjalani saringan kesihatan dan pemeriksaan mata yang turut dianjurkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, pengerusi program DFTN, Dr. Abu Razali berkata, inisiatif tersebut sudah berlangsung hampir setahun membabitkan doktor gigi, jururawat, staf sokongan pergigian, pelajar pergigian dan pelajar universiti lain.
Katanya, kumpulan sukarelawan tersebut melihat program DFTN sebagai ruang untuk menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.
“Dengan sokongan daripada sukarelawan dan penaja, kami berjaya menyediakan rawatan pergigian asas secara percuma kepada orang ramai seperti cuci gigi (scaling), tampalan gigi (filling) dan pemasangan gigi palsu (denture).
“Berus gigi dan ubat gigi percuma juga diagihkan kepada orang ramai yang menyertai program ini.
“Tidak terhad kepada golongan gelandangan dan miskin bandar, DFTN turut mensasarkan golongan pelarian, anak-anak yatim, orang tua dan orang asli yang mana kami akan ke tempat mereka pada setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui di ‘klinik gigi sementara’ di laluan pejalan kaki di Jalan Chow Kit.
Menurut Dr. Abu, program tersebut tercetus apabila IDAM terlibat secara langsung dengan pertubuhan Feeding The Needy mengagihkan pek makanan di sekitar Kuala Lumpur.
Ketika mengikuti program tersebut rata-rata gelandangan yang ditemui kehilangan gigi menyebabkan mereka sukar untuk menikmati makanan yang diagihkan.
“Melihat mereka begitu susah untuk makan tanpa gigi timbul perasaan kesian. Jadi kami berbincang dan mengambil keputusan untuk melaksanakan program amal ini.
“Tidak dinafikan golongan ini agak sukar untuk diberi pendedahan tentang penjagaan gigi kerana kehidupan jalanan menyukarkan mereka menguruskan diri seperti orang normal, tetapi sekurang-kurangnya mereka ini dibantu dengan rawatan pergigian asas.
“Untuk kanak-kanak pula, kami akan mengajar mereka tentang tatacara kebersihan mulut seperti memberus gigi dengan cara yang betul,” katanya.
Apa yang menarik, program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan sasar.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Dr. Izza Aleena Azizi, berkata, baru sahaja lima bulan mengikuti program DFTN, tetapi berasa cukup gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat dengan menyumbang kepakaran dan ilmu yang ada.
Gadis berusia 26 tahun itu mengakui begitu terkesan apabila melihat kehidupan gelandangan di jalanan dan berharap apa yang dilakukan itu dapat memberi inspirasi orang lain untuk turut menyertai kerja-kerja sosial.
“Jika mahu dibandingkan dengan rawatan di klinik, jauh bezanya dengan di jalanan. Kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai ragam manusia, kekangan kemudahan pengangkutan untuk membawa barangan dan cabaran paling utama adalah penajaan program.
“Bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan secara berterusan, kami amat memerlukan sumbangan daripada mana-mana pihak. Buat masa ini, program ini mendapat sokongan yang baik dari Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan dan beberapa NGO yang terlibat secara langsung,” katanya.
No comments:
Post a Comment