AMALAN berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi merangkumi penjagaan tubuh badan secara luaran dan dalaman.
Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan bekerja semula selepas berpantang. Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.
Bagi wanita yang baru lepas bersalin, antara perkara yang ditekankan ialah urutan bagi menaikkan rahim atau dalam kalangan orang Melayu disebut sebagai sengkak rahim. Urutan ini dilakukan bagi menaikkan semula rahim yang kendur atau terjatuh semasa proses melahirkan anak.
Rawatan tradisional seperti sengkak rahim membantu mengecutkan otot-otot rahim dan menolak rahim masuk semula. Ini dibantu dengan pemakanan yang betul seperti mengelakkan pengambilan makanan sejuk yang boleh menyebabkan urat kembang atau masuk angin.
Selain itu, amalan bertungku sering dipraktikkan semasa dalam pantang. Ini kerana bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau ‘simpan batu merian’.
Proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit. Ini dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir lancar selepas bertungku.
Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Pada zaman moden ini, rawatan selepas bersalin ini bukan sahaja boleh dilakukan sendiri atau bidan di rumah, sebaliknya ada khidmat rawatan bersalin ke rumah.
Sri Wajah Ibu misalnya, menawarkan pakej rawatan bersalin ke rumah pelanggan mengikut pakej tertentu. Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan tubuh badan langsing, rawatan selepas bersalin ini sebenarnya penting untuk kesihatan luar dan dalam seorang ibu.
Menurut Pengasas Sri Wajah Ibu, Fahana Ahmad Aini, rawatan selepas bersalin tidak hanya tertumpu kepada berurut sahaja.
“Ramai yang beranggapan, kami menyediakan khidmat berurut sahaja tetapi sebenarnya kami menyediakan pakej lengkap termasuk makanan, mandi bunga, bertungku, rawatan tradisional bayi kuning, bengkung dan sebagainya.
“ Kami menyediakan ramuan sendiri daripada bahan tradisional. Kebanyakan bahan-bahan yang digunakan terdiri daripada ramuan rempah-ratus seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia dan lada hitam yang secara tradisi diketahui baik untuk rawatan ibu berpantang,” katanya.
Justeru, wanita yang baru melahirkan anak memerlukan penjagaan yang sempurna ketika dalam jangka masa pantang bersalin. Inilah sahaja waktu yang sebenar dan sesuai bagi merehatkan badan yang penat bertungkus-lumus selama ini.
Penjagaan kesihatan serta pemakanan seimbang adalah penting ketika berpantang agar ibu kembali cergas seperti sediakala.
Tambah Fahana, selain rawatan fizikal, pemakanan juga aspek paling penting dalam rawatan berpantang. Ini kerana proses kehamilan telah menganggu keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal.
“Semasa melahirkan anak, tenaga dikerah dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di bahagian tertentu. Mengikut petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum).
“Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh itu, kami menyediakan pemakanan khas untuk ibu-ibu dalam pantang yang berkhasiat dan lebih digemari mengikut cita rasa kini,” katanya.
Laman sesawang:
ww.sriwajahibu-confinement.com
Instagram: SriWajahIbu
No comments:
Post a Comment