Monday, February 20, 2017

Rawatan Gigi Di Jalanan


Mungkin kehidupan Noor Ashikin Osman, 37, bersama anak-anak tidak sesempurna seperti keluarga lain, namun dia tetap mahu memastikan anak-anaknya sentiasa menjaga kebersihan dan kesihatan gigi sebagai rutin penjagaan harian.
Malah penekanan terhadap penjagaan gigi dan mulut sudah pun mula diberi perhatian sejak usia keempat-empat anaknya masih kecil lagi kerana berpendapat kesihatan gigi merupakan tunjang untuk kesihatan keseluruhan tubuh badan manusia.
“Saya sangat tegas dalam hal menjaga dan membersihkan mulut. Setiap kali selepas bangun pagi, rutin wajib yang pertama adalah menggosok gigi. Saya selalu ingatkan anak-anak walaupun hidup kita susah tetapi jangan sesekali abaikan penjagaan gigi.
“Biarlah orang memandang kita hina kerana kesusahan kita, namun orang sekeliling mungkin boleh menerima kita apabila melihat kita mempunyai barisan gigi yang cantik, bersih dan putih,” katanya ditemui ketika menunggu anak-anaknya mendapatkan pemeriksaan gigi ketika program Rawatan Pergigian Untuk Yang Memerlukan (Dentistry For The Needy - DFTN).
Program pemeriksaan dan rawatan gigi percuma untuk golongan gelandangan dan miskin bandar sekitar kawasan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur membabitkan kumpulan sukarelawan dari Persatuan Doktor Pergigian Islam Malaysia (IDAM).
Seperti Nor Ashikin dan anak-anaknya, ratusan penghuni kawasan tersebut telah menjadikan program DFTN sebagai rutin bulanan untuk berjumpa dengan sukarelawan yang terdiri daripada kumpulan doktor gigi.
Jika bertuah, mereka juga dapat menjalani saringan kesihatan dan pemeriksaan mata yang turut dianjurkan oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Sementara itu, pengerusi program DFTN, Dr. Abu Razali berkata, inisiatif tersebut sudah berlangsung hampir setahun membabitkan doktor gigi, jururawat, staf sokongan pergigian, pelajar pergigian dan pelajar universiti lain.
Katanya, kumpulan sukarelawan tersebut melihat program DFTN sebagai ruang untuk menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.
“Dengan sokongan daripada sukarelawan dan penaja, kami berjaya menyediakan rawatan pergigian asas secara percuma kepada orang ramai seperti cuci gigi (scaling), tampalan gigi (filling) dan pemasangan gigi palsu (denture).
“Berus gigi dan ubat gigi percuma juga diagihkan kepada orang ramai yang menyertai program ini.
“Tidak terhad kepada golongan gelandangan dan miskin bandar, DFTN turut mensasarkan golongan pelarian, anak-anak yatim, orang tua dan orang asli yang mana kami akan ke tempat mereka pada setiap hujung minggu,” katanya ketika ditemui di ‘klinik gigi sementara’ di laluan pejalan kaki di Jalan Chow Kit.
Menurut Dr. Abu, program tersebut tercetus apabila IDAM terlibat secara langsung dengan pertubuhan Feeding The Needy mengagihkan pek makanan di sekitar Kuala Lumpur.
Ketika mengikuti program tersebut rata-rata gelandangan yang ditemui kehilangan gigi menyebabkan mereka sukar untuk menikmati makanan yang diagihkan.
“Melihat mereka begitu susah untuk makan tanpa gigi timbul perasaan kesian. Jadi kami berbincang dan mengambil keputusan untuk melaksanakan program amal ini.
“Tidak dinafikan golongan ini agak sukar untuk diberi pendedahan tentang penjagaan gigi kerana kehidupan jalanan menyukarkan mereka menguruskan diri seperti orang normal, tetapi sekurang-kurangnya mereka ini dibantu dengan rawatan pergigian asas.
“Untuk kanak-kanak pula, kami akan mengajar mereka tentang tatacara kebersihan mulut seperti memberus gigi dengan cara yang betul,” katanya.
Apa yang menarik, program tersebut mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada golongan sasar.
Dalam pada itu, seorang sukarelawan, Dr. Izza Aleena Azizi, berkata, baru sahaja lima bulan mengikuti program DFTN, tetapi berasa cukup gembira kerana dapat berbakti kepada masyarakat dengan menyumbang kepakaran dan ilmu yang ada.
Gadis berusia 26 tahun itu mengakui begitu terkesan apabila melihat kehidupan gelandangan di jalanan dan berharap apa yang dilakukan itu dapat memberi inspirasi orang lain untuk turut menyertai kerja-kerja sosial.
“Jika mahu dibandingkan dengan rawatan di klinik, jauh bezanya dengan di jalanan. Kami terpaksa berhadapan dengan pelbagai ragam manusia, kekangan kemudahan pengangkutan untuk membawa barangan dan cabaran paling utama adalah penajaan program.
“Bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan secara berterusan, kami amat memerlukan sumbangan daripada mana-mana pihak. Buat masa ini, program ini mendapat sokongan yang baik dari Bahagian Pergigian, Kementerian Kesihatan dan beberapa NGO yang terlibat secara langsung,” katanya.

Suami Mampu Elak Isteri Meroyan


BERPANTANG selepas melahirkan anak kedua kali ini memberi tekanan emosi kepada Hanum (bukan nama sebenar) jika dibandingkan dengan kelahiran anak pertamanya apabila dia membuat keputusan untuk berpantang sendiri tanpa bantuan orang lain.
Hanum fikir, dia tidak mahu menyusahkan ibunya di kampung dengan berpantang sendirian tambahan merasakan sudah mempunyai pengalaman melahir anak sebelum ini. 
Namun, fikirannya mula terganggu apabila penat menguasai badannya dalam menjaga bayi yang baru lahir dan anak pertamanya yang masih kecil. Bayinya kali ini berbeza dengan kakaknya, lebih meragam di waktu malam membuatkan Hanum kepenatan. Bila susu badannya berkurangan, tekanan semakin bertambah buat dirinya dan berasa tidak berguna kepada keluarganya.
Hanum mula kemurungan, menangis ketika menyusukan anak malah ada ketika dibiarkan anaknya menangis tanpa berusaha menenangkannya. Dia juga mula rasa tidak disayangi suaminya dan kesunyian akibat berpantang sendiri.
Mujur suaminya cepat menyedari perubahan sifat Hanum yang kemurungan dan tidak ceria seperti biasa. Apabila dibawa berjumpa doktor, doktor mengesahkan yang Hanum mengalami simptom kemurungan lepas bersalin (pospartum depression) dan jika tidak dikawal boleh menyebabkan psikosis lepas bersalin (postpartum psychosis) atau lebih dikenali sebagai meroyan.
Masalah yang dihidapi Hanum bukanlah kes terpencil malah ramai sebenarnya ibu yang mengalami masalah kemurungan selepas bersalin sama ada mendapatkan bantuan pakar atau tidak. Dia beruntung kerana orang yang paling rapat dengannya iaitu suaminya menyedari kelainan pada Hanum dan segera mendapatkan bantuan pakar.
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan berita seorang wanita yang dipercayai mengelar bayinya sehingga mati setelah mendengar ‘bisikan’ untuk melakukan perbuatan tersebut. Begitu juga berita sebelum ini yang mana seorang wanita membunuh diri kerana dikatakan tidak berjaya menyusukan anaknya.
Menurut Pakar Perunding Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi Universiti Malaya, Profesor Madya Dr. Muhammad Muhsin Ahmad Zahari, psikosis selepas bersalin atau royan berlaku kepada satu hingga dua orang setiap 1,000 orang wanita yang baru bersalin.
“Gangguan mental selepas bersalin terbahagi kepada tiga kategori iaitu maternal blues (murung bayi), kemurungan selepas bersalin dan psikosis selepas bersalin.
“Walaupun peratusan meroyan berakhir dengan tragedi adalah rendah, namun perlu diberi perhatian serius dengan menyegerakan rawatan supaya dapat mengelakkan perkara ini berlarutan.
“Orang yang rapat dengan individu tersebut seperti keluarga terutamanya suami seharusnya lebih peka dan ambil berat akan perubahan yang berlaku terhadap ibu yang baru bersalin. Simptomnya agak jelas seperti emosi tidak stabil, tidur terganggu, percakapan tidak seperti biasa dan lebih sensitif daripada kebiasaan.
“Malah, perlu ingat setiap kelahiran adalah berbeza, jika sebelum ini wanita tersebut tidak mengalami gangguan mental selepas bersalin ia tidak terkecuali untuk menghidapinya untuk kelahiran seterusnya,” ujar Dr. Muhammad Muhsin.
Selain itu, para suami perlu lebih bertanggungjawab dengan membantu isteri yang baru lepas bersalin bagi mengurangkan bebanan mereka. Konsep lepas tangan dan urusan rumah tangga hanya dipertanggungjawabkan ke atas wanita perlu ditepis.
Tambahnya, selain ahli keluarga yang rapat dengan pesakit, tanggungjawab untuk mengenal pasti mereka yang mengalami gangguan mental selepas bersalin boleh digalas oleh jururawat dan doktor yang merawat mereka selepas bersalin.

Pantang Bukan Waktu Mengada-Ngada


Ramai dalam kalangan wanita masa kini mengambil mudah proses berpantang selepas bersalin sehingga menyifatkan proses berkenaan sekadar amalan orang-orang dahulu.
Tidak kurang juga yang menyifatkan amalan berpantang sebagai tidak penting sehingga seawal dua minggu sudah ada yang berani mengendong bayi ke pusat beli-belah dan berjalan ke sana sini tanpa kaki beralas stoking yang menjadi tegahan pada wanita-wanita dahulu.
Sebenarnya tanpa sedar, wanita-wanita seperti ini bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah keadaan bayi yang masih memerlukan persekitaran yang bersih dan selamat dalam tempoh tiga bulan pertama sebaik kelahirannya.
Tempoh selamat dan bertenang itu juga paling penting buat ibu bersalin kerana tiga hingga lima hari pertama selepas bersalin, kira-kira 70 hingga 80 peratus wanita berdepan dengan keadaan yang dipanggil meroyan iaitu berlaku kemurungan selepas melahirkan anak.
Bagi pengendali perkhidmatan wanita dalam pantang, pantangplus.com, Zamzana Mohd. Arifin, 44, cara paling baik untuk mengatasi masalah meroyan ialah mengendalikan tempoh berpantang dengan betul.
Katanya, proses berpantang merupakan proses amat penting buat wanita selepas bersalin, malah proses itu menentukan tahap kesihatan dan keupayaan wanita selepas melalui satu perjalanan yang sukar.
“Proses berpantang berkait rapat dengan masalah meroyan kerana ia berlaku dalam tempoh minggu pertama dan membawa sehingga 24 bulan selepas kelahiran. Pada tempoh itu, wanita bersalin tidak boleh ditinggalkan berseorangan sekurang-kurangnya empat hingga enam minggu.
“Ini kerana kebanyakan wanita tidak sedar mereka dalam tempoh meroyan di mana hormon berubah sehingga menyebabkan mereka mudah berasa sedih, kecewa, keseorangan serta sensitif pada perkara-perkara yang mudah,” katanya.
Akuinya, masyarakat di negara ini terutama orang Melayu harusnya bersyukur kerana nenek-moyang dahulu telah meninggalkan amalan-amalan yang jika diamalkan dapat mengelak masalah meroyan.
Bermula daripada menyambut kelahiran bayi, menanam uri, makan makanan berkhasiat, tidak melakukan kerja berat serta perhatian yang diberikan sepenuhnya merupakan antara kaedah paling berkesan untuk mengatasi masalah meroyan.
Menimang cahaya mata merupakan detik paling bermakna bagi seorang bergelar wanita. Malangnya, keceriaan menerima zuriat yang dikandung sembilan bulan bertukar duka malah sesetengahnya berakhir dengan tragedi memilukan sebagaimana yang berlaku kepada sebuah keluarga di Kota Bharu, Kelantan baru-baru ini apabila si ibu dipercayai mengelar bayinya berusia dua bulan sehingga mati.
Kemurungan selepas bersalin (postnatal depression) atau meroyan, bukan berlaku dalam masyarakat Melayu sahaja. Semua wanita baru bersalin tanpa mengira bangsa, agama, mahupun agama berpotensi mengalaminya. Malah, pelakon Hollywood, Brook Shields suatu ketika juga pernah mengaku mengalami kemurungan ketika melahirkan anaknya.
Mengakui ramai suami mengambil mudah tentang proses berpantang, ujar Zamzana, tindakan suami yang membiarkan semua urusan dilakukan isteri bermula dari disahkan mengandung sehingga menguruskan bayi ketika berpantang, menyebabkan wanita mudah berasa tidak dihargai dan cenderung kepada masalah meroyan.
Jelasnya, hampir kebanyakan suami menyifatkan wanita selepas bersalin terlalu ‘mengada-ngada’ kerana perlu diberi perhatian yang lebih sehingga kebanyakan suami mengabaikan perasaan isteri.
Tegas Zamzana Mohd. Arifin, amalan mengurut dalam tempoh berpantang adalah paling penting kerana melalui proses berkenaan, urat-urat yang terjejas ketika proses bersalin dapat dipulihkan, malah perubahan hormon di dalam badan dapat diuruskan dengan baik.
“Dalam amalan tradisional, mengurut membolehkan darah-darah yang terkumpul mengalir serta keluar dari badan dan ini membolehkan badan wanita kembali sihat.
“Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi proses ini merupakan satu elemen penting mengatasi masalah meroyan kerana badan tidak sihat juga merupakan faktor awal,” ujarnya.
Lazimnya, bibit-bibit meroyan boleh dilihat seawal trimester ketiga wanita mengandung.
Masalah kewangan, hubungan suami isteri, trauma sakit serta tiada ilmu rumah tangga menjadi antara faktor utama.
Biarpun beberapa kes kejadian wanita meroyan bukan melibatkan anak pertama, ujar Zamzana, semuanya bermula daripada pengalaman bersalin pertama kali yang gagal diuruskan dengan baik.
Tambahnya, kegagalan menguruskan tempoh berpantang pada kelahiran bayi pertama sangat berisiko mengundang masalah meroyan berulang untuk proses kelahiran seterusnya.
“Proses kelahiran dan berpantang setiap anak adalah berbeza dan berdepan dengan keadaan yang sukar dijangka, justeru suami atau penjaga perlu berdepan dan bersedia dengan pelbagai kemungkinan dan paling penting kena ada ilmu dalam perkara itu, jika tidak, upah mereka yang pakar untuk menguruskannya,” ujarnya.
Ketika ini, pantangplus.com mempunyai rangkaian lebih 60 terapi di seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan menguruskan wanita selepas bersalin secara sah dan mempunyai sijil dalam bidang berkenaan.
“Kita menyediakan pakej tiga hari (RM450), 14 hingga 21 hari (RM3,000++) dan 28 hari (RM6,000++) merangkumi perkhidmatan mengurut, bertungku, mandi herba, bertangas, lulur, menyediakan makanan berpantang, mandikan bayi dan sebagainya,” jelasnya.

Kanta Lekap 



Dia yang kemudian berjinak-jinak dengan dunia peragaan mengambil keputusan memilih kanta lekap kerana cermin mata membataskan pergerakannya.
“Sudah hampir sepuluh tahun saya memakai kanta lekap. Saya memilih kaedah ini untuk dua perkara iaitu gaya dan rawatan mata rabun. Saya berasa selesa walaupun kadangkala sukar dari segi penjagaan. Masalahnya, kanta ini tidak boleh dipakai lebih daripada lapan jam. Kadang-kadang saya terbabas juga. Mata saya akan menjadi merah dan saya akan segera ke klinik atau farmasi untuk mendapatkan ubat titis khusus untuk mengurangkan kesan sakit ini,” katanya.
 Mengulas trend kanta lekap yang kini menjadi pilihan gaya fesyen, Dr. Hamidah memberitahu, pada awal pengenalan kanta lekap diberikan secara preskripsi kepada mereka yang benar-benar layak menggunakannya sahaja.
“Pemeriksaan mata secara menyeluruh dilakukan dengan menganalisis kesemua kemungkinan kesan penggunaan kanta lekap pada mata. Kemudiannya sesi penerangan dibuat dengan bakal pengguna kanta lekap agar pengguna tidak terdedah kepada sebarang komplikasi buruk.
“Cara ini semakin hilang kini dan kesedaran pengguna tentang kaedah pemakaian dan penjagaan kanta lekap semakin berkurangan. Bahkan kanta kini menjadi pilihan untuk mereka yang ingin kelihatan cantik,” ujarnya.
Bagi Dr. Hamidah, pemakaian kanta lekap untuk tujuan kosmetik juga tidak ada masalah melainkan pemakainya perlu menjaga kebersihan semasa memakainya. Penggunaan kanta lekap kosmetik juga sama kaedahnya dengan pemakaian kanta lekap untuk tujuan rawatan.
Kebanyakan kanta lekap kategori kosmetik ialah jenis lembut dan dijual dalam pelbagai warna pilihan.
“Permukaan yang lembut juga memudahkan oksigen diserap masuk pada permukaan kornea mata dan membantu mengurangkan berlaku masalah kekeringan. Kanta lekap jenis pakai buang dalam kategori lembut mempunyai waktu tertentu untuk dipakai oleh pengguna.
“Kanta lekap jenis keras pula boleh dipakai dalam jangka masa yang lebih lama tetapi meninggalkan kesan ketidakselesaan kepada mata pengguna. Kebanyakan kanta lekap untuk merawat rabun adalah warna jernih,” katanya.
Dr. Hamidah memberitahu, pengguna yang tidak menjaga kebersihan ketika memakai kanta lekap dan mengambil sambil lewa rutin harian tersebut berkemungkinan berhadapan dengan risiko jangkitan pada bahagian kornea mata.
Antara yang perlu diberi perhatian ialah jika mata merah, sensitif, kabur atau sakit. Jika keadaan ini berlaku segera berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan. Individu yang tidur dengan kanta lekap berisiko lebih tinggi mendapat ulser kornea kerana mata lebih mudah tercedera, kurang oksigen dan memerangkap bakteria.
Dr. Hamidah menasihatkan orang ramai yang ingin memakai kanta lekap sama ada untuk gaya atau rawatan, mereka perlu mendapatkan kanta lekap yang berkualiti yang hanya dijual di pusat pakar optometris, kedai optikal, farmasi atau yang mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan.
“Sekiranya anda ingin atau bakal menggunakan kanta lekap, lakukan pemeriksaan mata terlebih dahulu dan dapatkan nasihat daripada pakar mata yang berkelayakan sebelum anda menggunakannya,” ujarnya.
TIDAK pernah terlintas di fikiran Zurin (bukan nama sendiri) masalah ketika memandu seperti sering terlanggar bonggol jalan raya menjadi penanda dia mengalami masalah rabun. Akhirnya, Zurin membuat keputusan pemeriksaan mata dan disahkan rabun jauh. Zurin disarankan memakai cermin mata.

Rawatan Ibu Berpantang


AMALAN berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi merangkumi penjagaan tubuh badan secara luaran dan dalaman.
Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan bekerja semula selepas berpantang. Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.
Bagi wanita yang baru lepas bersalin, antara perkara yang ditekankan ialah urutan bagi menaikkan rahim atau dalam kalangan orang Melayu disebut sebagai sengkak rahim. Urutan ini dilakukan bagi menaikkan semula rahim yang kendur atau terjatuh semasa proses melahirkan anak.
Rawatan tradisional seperti sengkak rahim membantu mengecutkan otot-otot rahim dan menolak rahim masuk semula. Ini dibantu dengan pemakanan yang betul seperti mengelakkan pengambilan makanan sejuk yang boleh menyebabkan urat kembang atau masuk angin.
Selain itu, amalan bertungku sering dipraktikkan semasa dalam pantang. Ini kerana bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau ‘simpan batu merian’.
Proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit. Ini dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir lancar selepas bertungku.
Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan. Pada zaman moden ini, rawatan selepas bersalin ini bukan sahaja boleh dilakukan sendiri atau bidan di rumah, sebaliknya ada khidmat rawatan bersalin ke rumah.
Sri Wajah Ibu misalnya, menawarkan pakej rawatan bersalin ke rumah pelanggan mengikut pakej tertentu. Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan tubuh badan langsing, rawatan selepas bersalin ini sebenarnya penting untuk kesihatan luar dan dalam seorang ibu.
Menurut Pengasas Sri Wajah Ibu, Fahana Ahmad Aini, rawatan selepas bersalin tidak hanya tertumpu kepada berurut sahaja.
“Ramai yang beranggapan, kami menyediakan khidmat berurut sahaja tetapi sebenarnya kami menyediakan pakej lengkap termasuk makanan, mandi bunga, bertungku, rawatan tradisional bayi kuning, bengkung dan sebagainya.
“ Kami menyediakan ramuan sendiri daripada bahan tradisional. Kebanyakan bahan-bahan yang digunakan terdiri daripada ramuan rempah-ratus seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, ketumbar, halia dan lada hitam yang secara tradisi diketahui baik untuk rawatan ibu berpantang,” katanya.
Justeru, wanita yang baru melahirkan anak memerlukan penjagaan yang sempurna ketika dalam jangka masa pantang bersalin. Inilah sahaja waktu yang sebenar dan sesuai bagi merehatkan badan yang penat bertungkus-lumus selama ini.
Penjagaan kesihatan serta pemakanan seimbang adalah penting ketika berpantang agar ibu kembali cergas seperti sediakala.
Tambah Fahana, selain rawatan fizikal, pemakanan juga aspek paling penting dalam rawatan berpantang. Ini kerana proses kehamilan telah menganggu keseimbangan hormon ibu. Mereka mengalami pelbagai bentuk tekanan dan gangguan emosi akibat perubahan fizikal.
“Semasa melahirkan anak, tenaga dikerah dengan hebat, urat saraf banyak yang cedera dan terjadi luka di bahagian tertentu. Mengikut petua Melayu, ibu-ibu dalam pantang disyorkan makan nasi berlaukkan ikan masin atau ikan panggang berkunyit dan meminum air mengikut sukatan jari (dua ruas jari untuk sekali minum).
“Akibat diet cara ini (kurang berzat dan kurang air) ibu-ibu terdedah kepada risiko penyakit buah pinggang dan tekanan darah rendah. Oleh itu, kami menyediakan pemakanan khas untuk ibu-ibu dalam pantang yang berkhasiat dan lebih digemari mengikut cita rasa kini,” katanya.
Laman sesawang: 
ww.sriwajahibu-confinement.com
Instagram: SriWajahIbu

Tuesday, February 7, 2017

Sakit Belakang Pada Usia Muda

DOKTOR, saya selalu mengalami sakit belakang pada usia menjangkau 25 tahun ini. Adakah saya mengalami osteoporosis. Adakah penyakit tulang ini boleh sembuh? 
Maria, Kuala lumpur 


Jawapan 


Sakit belakang adalah masalah biasa pada semua lapisan umur kecuali kanak-kanak. Boleh dikatakan setiap orang akan mengalami sekurang-kurangnya sekali seumur hidup. Jika masalah ini berlarutan, mereka yang mengalaminya perlu segera berjumpa doktor. Setidak-tidaknya mereka perlu mendapatkan pandangan doktor berkenaan punca sakit belakang yang dialami. 


Kadang-kadang sakit belakang boleh disebabkan oleh masalah biasa seperti mengangkat barang, postur semasa bekerja di pejabat dan sebagainya. Apabila mengangkat barang, ramai yang lazimnya membongkokkan badan, padahal mereka sepatutnya membengkokkan kaki bagi gerak mengusung yang diperlukan.Pekerja pejabat pula duduk di meja dan menghadap komputer berjam-jam tanpa regangan. 


Serius 


Walaupun penyakit serius seperti kanser dan jangkitan kuman tulang belakang, jarang berlaku dalam kalangan wanita muda namun penyakit lain yang juga boleh menyebabkan sakit belakang seperti batu karang perlu dipertimbangkan. Pesakit juga tidak patut bergantung kepada ubat penahan sakit kerana ia boleh menyebabkan kesan sampingan dalam jangka masa panjang seperti kerosakan pada buah pinggang dan risiko mendapat sakit gastrik. 


Penyakit osteoporosis jarang berlaku dalam kalangan wanita muda tanpa penyebab lain yang mungkin dialami pada masa sama. Faktor yang boleh meningkatkan risiko bagi mendapat osteoporosis adalah dalam kalangan atlet profesional yang menggunakan tenaga pada tahap optimum seperti pelari maraton, wanita kurang bersenam dan diet kalsium yang rendah, wanita yang terlalu kurus dan memiliki kerangka tulang badan kecil, wanita yang mempunyai sejarah keluarga menghidap osteoporosis, wanita yang merokok, mengalami masalah penyerapan nutrien, mempunyai aras hormon estrogen yang rendah mungkin disebabkan menopaus pramatang (menopaus pada usia muda), rawatan kemoterapi dan mengalami kekurangan vitamin D.


 Perubahan


 Sakit belakang secara umumnya dibahagikan kepada dua kumpulan. Hampir 90 peratus kes adalah dalam kumpulan ‘fungsi’ iaitu sakit belakang tanpa perubahan dikesan dalam X-Ray atau Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI). Ramai daripada pesakit ini wanita bekerja atau berumah tangga. Kebanyakan mereka bekerja dan duduk di kerusi terlalu lama. Postur duduk yang tidak sesuai menyumbang kepada sakit belakang. 


Satu lagi ciri kumpulan ini ialah mereka yang kurang bersenam atau aktiviti rekreasi kerana sibuk dengan kerja pejabat dan rumah. Mereka tidak sihat secara fizikal dan mental. Kepenatan, stres dan sedikit sebanyak tekanan menyebabkan mereka merasa sakit belakang lebih daripada orang biasa. 


Kerja mengangkat benda berat yang jarang dilakukan mencetuskan gejala sakit belakang yang teruk kerana teknik yang salah dan kelemahan fizikal. 


Dalam pada itu, 10 peratus yang lain menghidap sakit belakang asli dengan perubahan dikesan dalam X-Ray dan MRI. Kebanyakan mereka mengalami masalah kemerosotan struktur tulang rawan belakang yang dikenali sebagai degenerative disk disease dan kadangkala slip disk (prolapse intervertebral disk). 


Disk ialah tulang rawan di antara segmen-segmen tulang belakang. Ia berfungsi sebagai penyerap hentakan dan membolehkan pergerakan (mobiliti) tulang belakang. Ia merosot mengikut kadar umur iaitu disk kehilangan kelembapannya. Ini boleh dikesan dengan MRI. 


Harus diingatkan bahawa bukan semua disk yang merosot menyebabkan sakit belakang. Ini kerana slip disk berlaku apabila disk yang merosot, menonjol dan menekan atas saraf tunjang. Tanda-tandanya adalah sakit belakang yang diiringi oleh sakit menuju ke kaki dan bawah paras lutut.


Daripada pengamatan saya, insya-Allah sakit belakang yang dialami anda adalah tidak serius kerana besar kemungkinannya disebabkan sakit belakang daripada kumpulan pertama iaitu ‘fungsi’. Sudah tentu sakit ini boleh sembuh. Ia bukanlah disebabkan masalah osteoporosis. Elok berjumpa dengan doktor pakar tulang (ortopedik) bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut dan sudah tentu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan. 


SUMBER  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/sakit-belakang-pada-usia-muda-1.341548#sthash.lDRmmcpF.dpuf

Fenomena Bayi Besar

BAYI besar atau lebih dikenali sebagai makrosomia adalah bayi yang lahir dengan berat badan lebih daripada 4,000 gram (4 kilogram). Berat badan bayi yang baru lahir dengan cukup bulan dan usia kehamilan sekitar 37 hingga 42 minggu biasanya antara 2,500 hingga 4,000 gram. 


Kalau berat si kecil ketika dilahirkan lebih daripada itu dianggap bayi bersaiz besar dan senario bayi besar bukan baharu di negara ini. Apabila perkara ini terjadi kita pastinya tertanya-tanya apakah puncanya dan kenapa terjadi? Menurut Pakar Kanak-Kanak, Hospital Columbia Asia Setapak, Dr. Khairul Zaman Omar, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan hal ini terjadi. 


Katanya, antara yang sering dikaitkan dengan kejadian bayi besar ketika lahir ialah faktor genetik dan si ibu menghidap penyakit kencing manis semasa hamil. “Kejadian bayi yang dilahirkan besar bukan satu fenomena baharu di negara ini, malah bergantung kepada keadaan masyarakat itu sendiri.


 "Di Malaysia berat maksimum bayi yang baru dilahirkan adalah di antara 4 kilogram (kg) hingga 4.5kg tetapi di negara Arab 5kg adalah saiz bayi yang normal. “Faktor genetik biasanya membabitkan kedua-dua ibu dan bapa bersaiz besar, serta ibu yang mengalami masalah lebihan berat badan ketika hamil. Selain itu, bayi yang dilahirkan lebih pada usia kehamilan iaitu 42 minggu juga berisiko untuk lahir besar,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. 


Mengulas lanjut mengenai hal tersebut, Dr.Khairul, menjelaskan, setiap ibu hamil perlu mendapatkan rawatan berkala untuk mengetahui tahap kesihatan sepanjang kehamilan. Ini adalah untuk mengelakkan pelbagai perkara yang tidak diingini berlaku termasuk kemungkinan bayi bersaiz besar, yang mengundang pelbagai risiko baik kepada ibu mahu pun bayi itu sendiri. 


Tuturnya lagi, sekiranya masalah ini terjadi, 90 peratus ibu hamil akan melahirkan anak mereka melalui pembedahan caesarean. Namun, sekiranya si ibu mahu bersalin secara normal kemungkinan besar anak yang dilahirkan secara vakum atau forsep. 


Keadaan ini menurut Dr.Khairul, bukan satu situasi selamat kerana bayi tersebut berisiko tinggi untuk meninggal dunia kerana tersekat di pangkal rahim dan kekurangan oksigen. Bukan itu sahaja, si ibu juga berkemungkinan mengalami koyak yang teruk pada bahagian vagina. 


“Lazimnya ibu hamil yang mengandungkan anak bersaiz besar, mereka akan melahirkan anak secara pembedahan untuk mengelakkan koyak teruk pada bahagian vagina. “Ini juga bagi mengelakkan bayi yang dilahirkan mengalami kecacatan kekal pada bahagian bahu yang kemungkinan akan tersangkut pada pangkal rahim sekiranya dilahirkan secara normal. 


“Pada masa yang sama, bayi bersaiz besar juga berisiko tinggi mengalami masalah paru-paru yang tidak normal dan kecacatan otak kerana mereka mengalami hipoksia (kekurangan oksigen), dan hipoglisemia (paras gula darah yang rendah) semasa kelahiran,” jelasnya lagi. 


Dr.Khairul menasihatkan, ibu-ibu hamil mahupun ibu yang akan hamil mengambil berat mengenai kesihatan diri masing-masing sebelum dan semasa kehamilan bagi mengelakkan terjadinya kelahiran bayi bersaiz besar, serta risiko-risiko yang lain. 


Beritahunya lagi, ibu hamil mudah mendapat penyakit diabetes walaupun pada dasarnya mereka bukanlah penghidap penyakit tersebut sebelum ini. Ini terjadi kerana perubahan metabolik dan kesan hormon kehamilan yang boleh menyebabkan terjadinya diabetes semasa tempoh kehamilan. 


“Ini satu keadaan serius yang timbul apabila wanita hamil yang tidak pernah menghidap diabetes mempunyai paras glukosa yang lebih tinggi daripada wanita yang mengalami kehamilan normal. “Keadaan ini juga akan menyebabkan bayi mungkin mempunyai paras glukosa darah yang sangat rendah (hipoglisemia) yang berpanjangan selepas dilahirkan,” katanya. 


Dalam pada itu, mengidam ketika hamil menurut Dr. Khairul, adalah perkara biasa, bagaimanapun mengamalkan diet yang sihat sepanjang tempoh kehamilan dan kerap bersenam adalah amat penting untuk membantu menguruskan keadaan tanpa bantuan ubat-ubatan. Ibu hamil yang mengalami masalah diabetes seharusnya meminta doktor merujuk mereka kepada pakar diet bagi merancang pemakanan makanan yang sesuai untuk mereka. 


Pastikan ibu hamil memilih makanan yang tinggi khasiat tetapi rendah lemak seperti buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin. “Ibu-ibu hamil seharusnya beringat bahawa tiada istilah ‘makan untuk dua orang’ sebaliknya rancang diet dan hidangan yang betul sepanjang tempoh kehamilan. 


“Dalam pada itu dakwaan bahawa penggunaan beberapa jenis ubat yang dibekalkan oleh doktor seperti asid folik boleh membuatkan bayi besar di dalam kandungan adalah tidak benar. “Vitamin yang diberikan hanyalah bertindak sebagai suplemen dan ia penting kerana kebanyakan ibu hamil di Malaysia tidak mempunyai zat besi yang mencukupi di dalam tubuh mereka,” katanya lagi. 


Oleh demikian, berbincanglah dengan doktor anda agar dapat mengetahui keadaan semasa anda sepanjang tempoh kehamilan. 


SUMBER http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/fenomena-bayi-besar-1.340324#sthash.LA6FdA22.dpuf

Tip Cantik Wanita 50-an

BERAT badan meningkat, kulit kering, muka sembap, rambut rapuh dan gugur, kerap letih, mengantuk, pergerakan dan tindak balas menjadi perlahan. Simptom-simptom ini sering dianggap sebagai perkara semula jadi dalam proses penuaan, terutama bagi wanita yang memasuki era 40-an. 


Boleh dikatakan hampir semua orang turut mengalami gejala sama, tetapi pada tahap berbeza.
Namun, hakikatnya ia bukan sebahagian daripada proses semula jadi penuaan kerana ada orang masih mampu bergiat aktif, nampak awet muda, cergas dan tajam fikirannya, walaupun usia melebihi separuh abad. 


Terdapat tiga gejala kesihatan yang dialami oleh wanita berusia 40 tahun ke atas. Mereka akan mengalami penuaan, perubatan seperti diabetes, darah tinggi serta kanser dan risiko kanser termasuk kanser payudara dan rahim. Penuaan merupakan masalah kesihatan utama bagi wanita berumur 50-an. Ia sering dikaitkan dengan menopaus . 


Gejala-gejala ini perlu dititik beratkan kerana jangka hayat bagi seorang wanita boleh mencecah hingga 80 tahun. Ia lebih panjang daripada jangka hayat sebelum ini. Kajian menunjukkan senario ini disebabkan sosio ekonomi penduduk dunia semakin baik. Justeru bilangan warga emas sekarang semakin tinggi.


 Namun, jika terlalu ramai, ia mungkin menjadi masalah kepada negara kerana kebanyakan golongan ini tidak berfungsi. Menyentuh masalah menopaus, ia biasa melanda wanita peringkat umur 50-an. Bagi menempuh tempoh masa ini, pelbagai persediaan perlu dilakukan. Antara simptom yang akan merubah wanita 50-an yang mengalami proses penuaan ialah cepat letih, mengah, tidur tidak lena, asyik hendak tidur dan mudah sangat tidur. 


Bagi menopaus, wanita akan sentiasa berasa panas, paling ketara dari segi psikiatri iaitu tekanan dan mudah berasa tersisih. Ini berlaku kerana hormon wanita turun dan menyebabkan mood tiada. Selain itu, golongan ini turut berisiko tinggi mengalami osteoporosis. Ketika usia semakin meningkat, tulang-tulang sendi akan mula rasa sakit khususnya tulang belakang.


 Pada usia ini juga, wanita juga perlu berhati-hati kepada penyakit yang banyak terdapat dalam masyarakat seperti darah tinggi dan diabetes. Perubahan mengikuti proses penuaan seperti garis-garis halus dan uban adalah tidak dapat dielakkan tapi dengan produk penjagaan kulit dan rambut, rawatan muka yang tidak melibatkan pembedahan, kini wanita yang melebihi umur 50 boleh menyerlahkan kecantikan mereka dengan cara yang semula jadi. 


Perubahan kulit dan rambut Tempoh yang lama di bawah matahari, merokok, diet, kegemukan, gravitasi, tekanan hidup dan genetik merupakan faktor yang boleh mempengaruhi kulit anda. Dengan peningkatan umur, proses pengggantian sel kulit yang baru akan memperlahan, menyebabkan kulit menjadi lebih kering dan kurang elastik. Lapan tip mudah bagi kulit anda 


1. Menjauhi rokok. Berdasarkan selidik kaji pakar, rokok akan menyebabkan penuaan awal kulit. Rokok mengandungi bahan kimia yang membatasi jumlah oksigen yang sampai ke kulit dan menggangu penyerapan vitamin C yang diperlukan oleh kulit untuk memperbaiki diri. 


2. Kurangkan pendedahan di bawah matahari. Mengelakkan matahari pada jam 10 pagi hingga 2 petang kerana sinar matahari pada masa itu adalah sangat kuat. Sinar matahari adalah penyebab utama bagi masalah kulit seperti garis-garis halus, bintik-bintik coklat dan perubahan warna kulit. Pakaikan topi, lengan baju yang panjang, seluar panjang dan cermin mata gelap jika berada di luar rumah. 


3. Menggunakan krim pelindung cahaya matahari atau sunscreen. Mengunakan produk SPF30 atau lebih dengan pelindungan UVB dan UVA setiap hari. Cahaya matahari akan menyebabkan kejadian kedutan dan warna kulit yang tidak seimbang. Sunscreen juga mengurangkan risiko kanser kulit. 


4. Gunakan pelembap bagi kulit kering. Pakai pelembap udara dan losyen. Pelembap melembabkan kulit dengan cara mengikat air pada lapisan kulit terluar. Cari pelembap yang berasas minyak. 


5. Diet sihat dan minum air yang mencukupi. Pemakanan yang baik adalah penting untuk kulit. Pastikan anda mengikuti diet sihat yang diperkaya dengan vitamin A, B, C, E dan K yang terdapat dalam makanan seperti bayam, kekacangan, biji-bijian, lemon, limau, jus anggur dan buah-buahan. Air adalah penting untuk hidrasi mendalam. Dasar yang baik adalah 6 hingga 8 gelas dalam satu hari. Minum air juga menghilangkan racun berbahaya dari tubuh. 


6. Produk anti-penuaan. Bahan pentapeptida yang terdapat dalam kebanyakan produk yang baru, membantu dalam mempercepatkan sel kulit untuk menghasilkan kolagen yang penting untuk menegangkan kulit. Krim retinoid yang mengandungi vitamin A adalah sangat efektif dalam mengurangi keriput, mencerahkan warna kulit dan meningkatkan pergantian sel kulit. Anda juga harus mencari tambahan bahan seperti antioksida untuk membuat kulit berisi dan cerah. 


7. Perawatan kulit. Suntikan Botox, pengupasan kulit, pengisi kedutan dapat menghilangkan kesan kedutan dan melicinkan kulit muka. Rawatan laser dapat menambahbaikan kulit, menghilangkan parut dan kedutan dan masalah kulit yang lain.


8. Tidur yang mencukupi. Dapatkan rehat yang secukupnya untuk melihat perubahan pada wajah anda; Lingkaran hitam di bawah mata, kulit pucat, dan mata bengkak adalah simpton yang kerap. Mendapatkan tujuh hingga lapan jam tidur setiap malam akan menjaga tubuh dan kulit anda. Ia penting bagaimana anda tidur juga – kalau anda merehatkan muka anda di atas bantal, anda akan mendapat kedutan kulit, jika anda meniarap diatas perut, lingkaran hitam di bawah mata anda akan muncul. Solusinya senang – tidur di atas perut anda! 


sumber :  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/tip-cantik-wanita-50-an-1.341552#sthash.83jzekw9.dpuf

Pigmentasi Akibat Kosmetik Keracun

Masalah seperti ini merupakan salah satu pendorong saya untuk mendalami ilmu estetik lantas saya menghadiri kursus di Eropah 10 tahun yang lepas. Tidak semua penyakit itu sama. Masalah pigmentasi adalah suatu penyakit senyap yang menjejaskan self esteem seseorang. Ia merosakkan wajah dan menimbulkan rasa rendah diri dalam jiwa. 


Oleh itu, saya bersetuju untuk menunggu beliau untuk menganalisa dan memahami keadaan kulit beliau secara teliti.Tepat jam 5 petang, Puan Norizah tiba di Marissa Aesthetic Shah Alam bersama suami tercinta. Beliau terharu apabila melihat kelibat saya. 


Pada masa yang sama, keadaan muka beliau membuat saya terkejut dan bagaikan tidak percaya dengan apa yang saya saksikan. Keadaan muka beliau lebih teruk dari yang saya sangka. Seluruh muka hingga ke leher gelap seperti disambar api. 


“Doktor, tolonglah saya. Saya tak nak putih melepak. Saya cuma nak warna kulit saya yang asal. Saya nak tahu dan atasi masalah kulit saya ini. Saya dan suami dah letih sangat cari punca masalah kulit saya ini. Kami jumpa doktor pakar kulit pun, hanya krim diberi. 


“Bila saya sapu krim itu, menyebabkan kulit saya kering dan tidak ada perubahan. Saya datang ke sini pun, saya kuatkan hati kerana saya dah putus asa. Saya dah tak tahu nak buat apa,” rayu Puan Norizah dan suami. Saya kagum dengan kecekalan beliau yang sabar dengan dugaan yang dihadapi, dan saya berazam akan membantu beliau. 


BERISIKO


Apa itu jeragat? Jeragat atau nama saintifiknya adalah melasma. Melasma adalah perubahan warna kulit yang muncul dimuka. Melasma dapat dibahagikan kepada dua iaitu melasma epidermal dan melasma dermal. Kebiasaannya kedua-duanya akan hadir bersama. 


Melasma adalah penyakit kulit biasa, namun jika dibiarkan tanpa rawatan akan menjadi serius sehingga boleh menyebabkankan serkulit. 


Penyakit ini menyerang bukan sahaja perempuan, malah lelaki juga berisiko mendapat penyakit kulit ini. Antara faktor yang boleh menyebabkan pigmentasi berlaku, antaranya penyalahgunaan kosmetik, terlampau terdedah kepada cahaya UV, mempunyai masalah hormon, kekurangan vitamin, masalah keturunan dan pengambilan ubat-ubatan seperti ubat kencing manis, darah tinggi dan pil perancang. 


Selepas menganalisis masalah kulit yang dihadapi oleh Puan Norizah, saya dapati beliau mempunyai penyakit kulit yang tidak merbahaya namun dianggap kronik iaitu hyper pigmentation.Berdasarkan kisah Puan Norizah, sudah jelas bahawa kulit beliau menghadapi hyperpigmentation disebabkan penyalahgunaan kosmetik. 


Hal ini berkemungkinan akibat alat kosmetik yang digunakan sebelum ini yang mengandungi bahan kimia keterlaluan sehingga menyebabkan melanin kulit Puan Norizah rosak sehingga ke tahap melanin kulitnya reverse apabila cuba memakai produk pencerahan. 


Di Marissa Aesthetic, rawatan yang digunakan untuk memulihkan masalah jeragat adalah sapuan vitamin dan laser. Penggunaan produk yang sesuai juga dapat membantu. 


Menurut pakar estetik, jeragat mempunyai pembuluh darah yang hidup atau lebih mudah digelarkan sebagai akar jeragat. Pembuluh darah yang hidup ini membolehkan jeragat semakin besar dan bertambah hitam. Suntikan jenis tranxemenic dalam dos yang kecil membantu masalah jeragat. 


Rawatan laser medlite digunakan untuk menghilangkan jeragat, tatu, dan tanda lahir dengan lebih berkesan tanpa meninggalkan sebarang parut. Kaedah tersebut adalah dengan menggunakan Q-Switched Nd:Yag laser (Medlite C6). Rawatan ini menggunakan konsep “photo acoustic” yang dihasilkan oleh Medlite C6. 


Photo acustic bermaksud cahaya laser ini amat selektif kepada kehadiran pigmen. Sebagai contoh, apabila laser dipancarkan di kawasan jeragat, pancarannya akan memecahkan dakwat di lapisan dermis kepada partikel lebih halus tanpa merosakkan lapisan atas kulit. 


Laser jenis ini mampu masuk ke dalam kulit sehingga mencapai ketebalan beberapa milimeter. Tenaga haba yang dihasilkan oleh laser agak perit namun teknik coolant dan menyapu ubat kebas dikawasan yang mahu dirawat menjadikan prosedur ini agak selesa. 


Apabila medlite dipancar, ia akan memecahkan pigmen menjadikan kulit tampak bersih dan cerah. Kebaikan lain menggunakan medlite adalah kulit akan mengalami peningkatan kolagen membuatkan kulit akan tampak semakin muda. 


Proses ini memerlukan beberapa sesi untuk menghilangkan semua kesan dakwat tatu, tanda lahir, jerawat dan sebagainya tetapi ia sangat berkesan, selamat dan tidak meninggalkan sebarang parut. 
Faktor tidak meninggalkan parut ini menjadikan Medlite C6 satu kaedah membuang tatu yang digemari ramai. 


Cara laser dipancarkan juga adalah mudah. Oleh kerana laser yang digunakan agak terang cahayanya maka pelanggan dan doktor merawat akan memakai cermin mata gelap. Selain daripada itu tidak perlu langkah-langkah lain. 


Penggunaan produk yang betul dapat membantu memudarkan warna jeragat @ pigment. Marissa Aesthetic mempunyai produk yang dihasilkan daripada minerals dengan campuran vitamin c yang dinamakan White & Glow Gel. 


SUMBER  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/pigmentasi-akibat-kosmetik-beracun-

Bahaya Strok Haba

Malaysia kini berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba apabila beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia dikenal pasti telah mencapai paras ambang gelombang haba melebihi 35 darjah Celsius. 


Fenomena tersebut dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini yang boleh mengakibatkan komplikasi kepada sistem badan manusia jika terdedah kepada sinaran matahari pada suatu tempoh terutamanya kepada kanak-kanak yang sering terdedah dengan cuaca panas. 


Dalam tempoh tersebut, aktiviti luar yang sering dilakukan pelajar sekolah seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, bersukan, berkawad, dan beriadah perlu dielakkan kerana berisiko untuk mendapat strok haba yang jarang sekali berlaku namun berpotensi untuk berlaku berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini. 


Pegawai Perubatan Hospital KPJ Ampang Puteri, Dr. T Devarajan Theyventheran berkata, strok haba berlaku apabila seseorang mencapai paras suhu badan yang meningkat melebihi 40 darjah Celsius berbanding suhu badan normal iaitu kira-kira 37 darjah Celsius. 


“Proses berpeluh adalah normal tetapi apabila peluh keluar secara berlebihan akan menyebabkan kandungan air di dalam badan berkurangan. Perlu diingatkan bahawa air yang terkandung di dalam badan adalah penting bagi organ-organ seperti jantung, buah pinggang, dan otak dapat menjalankan tugasnya dengan baik. 


“Cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan tubuh mengalami dehidrasi ditambah pula dengan tabiat kurangnya minum air menjadi punca anda boleh menghidap strok haba.


 “Jika lewat mendapatkan rawatan, boleh menyebabkan komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kepada kematian,” katanya ketika ditemui di Klinik Waqaf An-Nur(KPJ), Ampang, baru-baru ini. 


Menurutnya, dalam keadaan cuaca yang begitu terik, individu disarankan berwaspada dengan serangan tersebut dan mengetahui tanda-tanda awal strok haba bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kerana strok haba boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia.


Kumpulan yang berisiko adalah kanak-kanak, warga emas yang berusia 65 tahun ke atas dan penghidap penyakit kronik di mana mereka perlu mengambil langkah-langkah pencegahan yang lebih baik. 


“Mereka yang mempunyai penyakit kronik perlu berjaga-jaga dengan pengambilan ubat mereka yang boleh menyingkirkan air di dalam badan.


 “Apabila perlu mengambil ubat secara rutin, mereka juga perlu memastikan mereka minum air kosong dalam jumlah yang lebih tinggi dan elakkan berada di kawasan panas,” katanya. 


Katanya, tanda-tanda awal strok haba boleh dikesan dengan paras suhu badan yang tinggi melebihi 40 darjah Celsius selain simptom-simptom seperti loya dan muntah, sakit kepala, denyutan nadi menjadi pantas, kulit menjadi kering serta kemerahan dan kekejangan otot.


 “Individu juga boleh terkena sawan, pitam dan mengalami kekeliruan sebagai petanda awal mereka menghidap strok haba. Jika ini berlaku, rawatan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada tubuh badan mereka,” ujarnya. 


Rawatan awal kepada mangsa 


Jelas Dr. T Devarajan Theyventheran, jika seseorang itu disyaki menghidap strok haba, rawatan awal perlu dilakukan oleh orang di sekelilingnya bagi menurunkan suhu badan mangsa dengan membawanya ke tempat teduh atau sejuk serta membasahkan badan mangsa dengan mengelap menggunakan tuala basah terutamanya di bahagian leher, kepala, dan ketiak. 


Jika suhu badan masih tidak turun, mangsa boleh direndamkan di dalam kolam air atau memandikan mangsa bagi menurunkan tekanan haba sebelum membawanya ke klinik. 


Tambahnya, langkah-langkah pencegahan boleh dilakukan dengan mengelakkan diri daripada melakukan aktiviti luar di bawah cahaya matahari dan segera mendapat perlindungan jika badan mula berpeluh. 


“Individu juga perlu mengelakkan memakai pakaian yang tebal dan hanya mengenakan pakaian nipis bagi menghindarkan badan cepat berpeluh. 


“Pengambilan minuman manis dan beralkohol juga perlu dikawal dalam tempoh cuaca kering dan panas kerana mudah menyebabkan badan menjadi dehidrasi dan amalkan pengambilan air putih yang mencukupi iaitu melebihi lapan gelas sehari,” katanya. 


Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak mereka di dalam kereta jika berada di luar kerana haba yang terlalu tinggi di dalam kereta tanpa pendingin hawa boleh menyebabkan strok haba berlaku secara tiba-tiba. 


Nasihat juga diberikan kepada guru dan majikan supaya mengurangkan aktiviti di luar seperti bersukan atau latihan kawad dalam tempoh cuaca sebegini kerana hanya memburukkan kesihatan diri terutamanya bagi kumpulan yang berisiko. 


SUMBER http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/bahaya-strok-haba-1.

Tingkatkan Kesihatan Seksual Wanita

Mungkin artikel ini agak senstif dalam kalangan masyarakat kita. Namun, isu ini menarik dan perlu dilihat daripada perspektif pendidikan kesihatan. 


Kesihatan seksual ialah keperluan asas manusia. Semua insan tidak kira lelaki atau wanita berhak memilikinya demi kesejahteraan hidup secara menyeluruh. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mentakrifkan seksualiti sebagai sebahagian daripada personaliti yang dimiliki oleh setiap individu; lelaki dan perempuan.


Seksual merupakan keperluan asas manusia yang penting sama seperti aspek lain kehidupan. Hubungan seks bermaksud hubungan kelamin antara dua individu berlainan jantina. Orgasma pula bermaksud mencapai kemuncak kepuasan syahwat ketika melakukan hubungan seks atau lebih mudah disebut klimaks. 


Dua perkara ini berbeza dan setiap pasangan yang melakukan hubungan seks belum pasti memperoleh orgasma. Semua pasangan berkahwin pernah melakukan hubungan seks. Namun, bagaimana pula dengan orgasma? Oleh itu, wanita perlu lebih prihatin dalam soal menjaga kesihatan seksual. 


Perubahan fizikal wanita sering terjadi selepas mereka bersalin khususnya penjagaan faraj. Selain itu, berlaku masalah pertambahan berat badan, stretch mark, masalah lemah kawalan kencing atau kesan lain yang biasa selepas bersalin. Perubahan fizikal bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan seksual malah kualiti hidup mereka. 


Jika anda rasa semasa hubungan intim, faraj terasa longgar atau menghadapi kesukaran untuk mencapai kepuasan seksual, jangan salahkan suami anda kerana ia mungkin disebabkan kelonggaran faraj. Sama seperti kulit, tisu faraj terdiri daripada gentian kolagen. Semasa melahirkan anak, tisu ini boleh terlalu tegang, merosakkan kolagen dan mewujudkan rasa kelonggaran terutama di sekitar pembukaan faraj. 


Perasaan kelonggaran yang dialami oleh ibu-ibu akan mengurangkan kepuasan seksual dan keinginan untuk melakukan hubungan seksual. Ini boleh membawa kepada kesan negatif kepada hubungan dan kualiti hidup. 


Dalam kaji selidik terhadap 400 wanita bersalin secara normal, hampir 50 peratus telah menyatakan mereka menghadapi masalah kelonggaran faraj dan penurunan kepuasan seksual semasa persetubuhan. Hari ini, banyak kes sebegini tidak dilaporkan kerana wanita malu bercakap tentang perkara yang berkaitan hubungan intim dan kurang memahami keadaan. 


Sebagai wanita dan seorang pakar, saya menggesa wanita untuk menjaga kesihatan seksual mereka dengan berbincang dengan doktor tentang kesihatan seksual mereka dan memahami bahawa kesihatan seksual ialah sebahagian daripada kesihatan secara keseluruhan. -


SUMBER http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/kesihatan/tingkatkan-kesihatan-seksual-

Khasiat Delima Untuk Kesihatan

BUAH delima tidak seperti epal yang gemar dijadikan snek dalam diet pemakanan sihat bagi sesetengah orang. Biarpun harganya sedikit mahal, namun buah kegemaran Nabi Muhammad SAW itu mempunyai khasiat tinggi untuk kesihatan khususnya perut. 


 Sebagaimana sabda Rasulullah SAW: Makanlah buah delima dengan isinya, kerana ia dapat mencuci penghadaman. 
– Riwayat Imam Ahmad. 


Dari aspek klinikal, pasukan penyelidik di University of Edinburgh juga bersetuju bahawa buah delima mempunyai keupayaan untuk mengurangkan lemak yang disimpan di sekitar perut sekali gus menghilangkan obesiti lemak. 


 Amalan pemakanan delima dikatakan dapat mengurangkan kebarangkalian pertumbuhan sel-sel adipos di perut dan mengurangkan asid lemak dalam darah, seterusnya merendahkan tekanan darah yang menghalang strok, serangan jantung dan buah pinggang. 


Bagi tujuan perubatan, buah delima juga dapat merawat dan melegakan demam panas, sakit kepala, masalah penglihatan selain mengaktifkan saraf-saraf dalam tubuh bagi menangani masalah kelesuan dan keletihan. 


Malah dalam perubatan homeopati, buah delima juga dikatakan mampu bertindak sebagai penawar baik untuk masalah cirit-birit, anaemia, tekanan darah tinggi dan artritis. 


Bagi sesetengah masyarakat di Asia Barat pula mereka beranggapan buah delima adalah salah satu simbol kesuburan dan panjang usia.  


SUMBER http://www.utusan.com.my/rencana/forum/khasiat-delima-untuk-kesihatan

Jijik Lihat Suami

Hasad dengki dan tamak haloba dua perkara yang menyebabkan manusia sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu dan kepuasan diri. Seperti kata orang, sekiranya tidak dapat akan sesuatu, jangan harap orang lain juga akan mendapatkannya. Biar berputih tulang dan sanggup berputih mata asalkan orang lain tidak boleh bergembira atas kegagalan mendapatkan yang diidamkan. 


Panjang lebar mukadimah yang diberikan hanya untuk membayangkan perasaan sepasang pengantin baharu, yang teraniaya batin mereka dek penangan ilmu hitam yang dirancang oleh individu yang sakit hati dengan mereka. 


Diceritakan sendiri oleh pasangan ini, mereka memberitahu, biarpun alam perkahwinan sudah memasuki dua bulan, pasangan ini masih belum dapat menikmati alam rumah tangga dalam erti kata sebenar kerana masih belum berkesempatan untuk ‘bersama’, sebagaimana pasangan pengantin baharu lain. 


Tijah, 26, dan Salim, 26, biarpun berkahwin mengikut pilihan dan kehendak ibu bapa masing-masing, mereka tetap menghargai padanan jodoh seperti itu. 


Kedua-duanya tetap bersetuju untuk disatukan. Majlis yang diadakan berlangsung dalam suasana yang penuh meriah. Tambahan pula kedua-duanya memang pernah mengenali antara satu sama lain kerana hubungan rapat orang tua masing-masing yang berkawan baik. 


Siapa menyangka, perkahwinan mereka yang meriah mengundang rasa cemburu kepada individu tertentu termasuk ibu individu berkenaan yang dikatakan terasa hati apabila ibu Tijah pernah menyuarakan rasa megahnya untuk menjadikan majlis anaknya nanti umpama wedding of the year di kawasan berkenaan. 


Mulut yang celupar dan sentiasa meninggi diri rupa-rupanya menyebabkan ibu individu ini seboleh mungkin cuba menghuru-harakan perkahwinan Tijah dan Salim. 


Bukan itu sahaja, dalam diam rupa-rupanya anak individu itu pula sebenarnya menaruh hati kepada si Salim dan apabila lelaki itu berkahwin, sudah tentu gadis ini terasa amat kecewa. 


Berbalik kepada kisah Tijah dan Salim, kedua-duanya mengaku, sebaik dinikahkan, Salim sudah berasa kelainan pada dirinya. Dia mengakui sebaik berada di dalam bilik ketika ditinggalkan berdua, dia hidung berasa tidak tahan terbau badan Tijah yang pada anggapannya terlalu busuk, sehingga menyebabkan dia terpaksa keluar dari bilik. 


Pada mulanya dia beranggapan, itu semua khayalannya atau sekadar perasaannya kerana gugup akibat baharu lepas diijabkabulkan. Namun, apabila dia cuba untuk mendekati lagi isterinya, bau busuk terus menusuk hidung. Apabila Tijah pergi ke bilik air dan mandi, Salim tetap berbau tubuh isterinya sangat busuk sehingga dia tidak tertahan untuk duduk sebilik. 


Itu apa yang dialami oleh Salim, manakala Tijah pula mendakwa, melihat badan lelaki itu dipenuhi dengan pelbagai kudis yang buruk dan berbau hamis apabila suaminya itu membuka baju. Tijah menyaksikan semua itu tetapi dia tidak bercakap dan bertanya dengan suaminya kerana enggan dianggap kurang ajar. 


Bukan itu sahaja, kedua-duanya tidak boleh berdekatan kerana apabila mereka berbuat demikian, Tijah dan Salim akan terasa bahang kepanasan, peliknya apabila berada di dapur atau berbual bersama-sama keluarga masing-masing, tidak pula mereka merasakan bahang berkenaan. 


Setelah seminggu mereka berumah tangga akhirnya Tijah dan Salim berterus terang dengan keluarga masing-masing tentang apa yang mereka alami. Ibu bapa mereka pun mencari ubat yang dirasakan sesuai untuk mengubati penyakit yang dideritai anak masing-masing sama ada secara tradisional, mahupun secara kaedah Islam. 


Ketika sesi berubat itu baharu mereka menyedari yang selama ini ada individu yang menghantar ‘penyakit’ berkenaan kepada mereka agar kehidupan pasangan ini haru-biru. Setelah beberapa lama berubat, Salim dan Tijah sudah mula rasa lega dan dapat tidur bersama satu katil. 


Biarpun masih lagi berubat kerana didatangi ‘penyakit’ berkenaan, entah bagaimana datang pula penyakit baharu, apabila Salim tidak boleh menjadi seorang suami dan lelaki yang sejati apabila dia sendiri tidak boleh menyentuh isterinya. Ini kerana kata Tijah, suaminya itu dikenakan pula ubat ‘pengunci batin’ yang menyebabkan dia tidak boleh berbuat apa-apa. 


Pasangan ini terpaksa pula mencari ubat untuk memulihkan Salim. Melihat keadaan kedua-dua pasangan ini, mengundang rasa simpati terhadap mereka. Sudahlah penat kenduri pun belum hilang lagi, kini mereka kelihatan kecewa, sakit dan hampir putus asa. 


Biarpun pada pandangan mata kasar mereka kelihatan sihat-sihat sahaja, kecekalan mereka untuk berhadapan dengan semua keadaan yang membingungkan itu sebenarnya menambahkan lagi kasih sayang mereka setakat ini. “Ujian itu mendekatkan kami sebenarnya. 


Jangan ingat dengan ujian ini kami akan berpisah. Sebenarnya, kami rasa semakin bertambah kasih sayang kami dan jika diizinkan Tuhan kami akan bersama selamanya,” kata Tijah. - 


Sumber-  http://www.utusan.com.my/gaya-hidup/keluarga/jijik-lihat-suami-1