Tanda-tanda seseorang yang mempunyai fobia pergigian ialah kesukaran tidur sehari atau dua hari sebelum temu janji pergigian. Mereka akan sukar melelapkan mata dan membayangkan rawatan pergigian yang menyakitkan. Dr. Irma menjelaskan, perasaan panik dan takut akan memuncak semasa di ruang menunggu klinik gigi sementara menunggu giliran.
Mereka juga akan berasa takut apabila doktor gigi ingin memasukkan alatan pergigian ke dalam mulut untuk melakukan rawatan kerana takut akan berasa sakit secara tiba-tiba atau tidak dapat bernafas kerana terdapat sesuatu di dalam mulut mereka.
Tambah beliau, walaupun bagi sesetengah orang perkara ini nampak remeh, pesakit yang mempunyai fobia ini akan merasa diri mereka terancam dengan rawatan pergigian yang bakal dijalankan. Keadaan ini perlu ditangani sebijak-bijaknya oleh doktor gigi kerana jika pesakit mengelak daripada rawatan pergigian dan pemeriksaan gigi. Ini akan menyebabkan penyakit gigi atau gusi tidak dapat dirawat pada peringkat awal.
“Untuk mengatasi fobia pergigian atau rasa takut berjumpa doktor gigi, kita perlu menyelami perkara yang ditakuti oleh pesakit tersebut. Biasanya ini terjadi apabila mereka pernah ada pengalaman tidak menyenangkan semasa rawatan pergigian lampau atau mendengar cerita seram dan sakit daripada individu.
“Sejujurnya, pada era moden ini, dengan kemajuan dalam teknik rawatan dan teknologi peralatan pergigian, kebanyakan rawatan gigi dapat dilakukan dalam keadaan yang amat selesa malah tidak menyakitkan. Doktor gigi yang mesra dan faham keadaan pesakit juga membantu mengurangkan rasa takut dan seram tersebut. Anggaplah doktor gigi anda sebagai kawan yang anda boleh bercerita dan meluahkan ketakutan anda dan mereka akan memahami keadaan anda,” katanya.
Dalam konteks ini, kebanyakan pesakit takut dengan jarum suntikan terutama apabila dimasukkan ke dalam mulut. Mereka takut akan kesakitan yang dirasakan apabila jarum menembusi gusi. Sebenarnya sebelum memasukkan jarum, kebiasaannya doktor gigi akan menyapu gel atau krim anestetik topikal yang menyebabkan permukaan gusi berasa kebas dan kurang sakit apabila jarum dimasukkan.
Ada juga pesakit yang takut jika ubat bius yang diberikan tidak mencukupi dan mereka akan berasa sakit apabila gigi dicabut atau rawatan dimulakan. Usah khuatir, doktor gigi akan melakukan pemeriksaan dahulu sama ada gigi atau kawasan yang dibius sudah kebas sepenuhnya sebelum memulakan rawatan.
“Ada pesakit yang merasakan tidak berdaya apabila mulut mereka terbuka dan rawatan dijalankan di dalam mulut dan mereka tidak nampak apa yang doktor gigi sedang lakukan. Dengan mulut ternganga, mesin suction di dalam mulut dan bunyi alatan pergigian yang agak kuat menyebabkan mereka merasakan seolah-olah tiada kawalan terhadap diri. Ada juga pesakit yang berasa tidak selesa dengan keadaan doktor gigi yang terlalu hampir dengan muka mereka,” jelasnya.
Cara-cara yang boleh mengatasi fobia ini ialah berterus terang dengan doktor gigi yang anda takutkan rawatan pergigian. Doktor gigi anda akan tahu cara untuk mengatasi ketakutan tersebut. Menurut Dr. Irma, beliau sering mainkan lagu untuk pesakitnya atau bercerita sepanjang rawatan untuk menarik perhatian mereka daripada rawatan yang dijalankan.
Jika anda tidak dapat beritahu doktor gigi yang anda merasa tidak selesa atau sakit semasa rawatan kerana mulut anda terbuka luas, wujudkan satu tanda isyarat, beritahu doktor gigi yang jika anda berasa tidak selesa atau anda mengangkat tangan sebagai tanda isyarat. Ini akan memberikan anda kuasa bercakap tanpa suara dan sekali gus memberi keyakinan terhadap diri sendiri dan perawat.
Jika anda berasa sukar bernafas semasa rawatan pergigian, sentiasa ingatkan diri untuk bernafas melalui hidung dan tarik nafas dalam-dalam kemudian lepaskan juga melalui hidung. Latih diri dan ingatkan diri semasa menunggu giliran untuk bernafas panjang melalui hidung serta buatlah kiraan setiap tarikan nafas supaya perhatian dapat dialihkan daripada rawatan sekali gus mengurangkan rasa panik.
Dalam pada itu, Dr. Irma menasihatkan supaya menjadikan tabiat melakukan pemeriksaan gigi setiap enam bulan walaupun tidak mengalami apa-apa masalah gigi untuk mengurangkan rasa takut. Jika anda ke klinik gigi dengan kesakitan, semestinya prosedur yang akan dilakukan untuk merawat gigi tersebut lebih rumit sekali gus menyebabkan dental phobia.
“Fobia pergigian harus ditangani dengan bijak kerana lawatan ke klinik gigi untuk pemeriksaan berkala dan rawatan penting bukan sahaja untuk kesihatan mulut malah kesihatan tubuh secara keseluruhannya. Pemeriksaan awal gigi akan dapat mengesan penyakit gigi dan gusi di peringkat awal secara tidak langsung menjimatkan kos rawatan. Sebagai contoh, karie gigi yang dikesan awal hanya perlu dirawat dengan tampalan. Sebaliknya, jika dibiarkan berlarutan mungkin memerlukan rawatan akar gigi dan semestinya pesakit akan dibius yang seterusnya restorasi korona yang memakan belanja lebih besar.
“Jika keadaan semakin teruk, gigi tersebut mungkin perlu dicabut dan digantikan dengan rawatan jambatan ataupun implan gigi yang semestinya lebih rumit dengan kos lebih tinggi. Dengan melakukan pemeriksaan mulut, doktor gigi bukan sahaja dapat mengenal pasti di peringkat awal penyakit gigi, gusi dan tisu mulut sahaja, malahan terdapat juga penyakit sistemik yang menunjukkan tanda di dalam mulut,” katanya.
Dalam pada itu, terdapat kemungkinan penyakit seperti kencing manis dapat dikesan awal oleh doktor gigi kerana pesakit kencing manis akan menunjukkan ciri-ciri periodontitis iaitu gusi dan tulang mudah terinfeksi. Walaupun dengan gangguan punca yang minimum, gusi mudah membengkak dan gigi boleh menjadi longgar.
Pesakit yang sering mendapat ulser di dalam mulut mungkin mengalami kekurangan vitamin B12 atau zat besi yang penting untuk kesihatan. Crohn’s disease yang menyebabkan pesakit mempunyai inflamasi di sepanjang sistem pencernaan juga mempunyai ulcer yang berpanjangan dan sukar sembuh di dalam mulut. HIV, iron deficeincy anemia, thalassemia, systemic lupus erythematosus dan tuberculosis uga antara penyakit-penyakit yang menunjukkan tanda di dalam mulut.
No comments:
Post a Comment