HERNIA atau lebih dikenali dengan nama angin pasang sering dikaitkan dengan masalah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat bayi lagi.
Namun sebenarnya, hernia sering menyerang orang dewasa terutamanya lelaki dan jenis hernia yang paling kerap menyerang lelaki ialah hernia inguinal iaitu apabila tisu lemak omentum atau sebahagian usus terjulur keluar di kawasan ari-ari, kelangkang atau dalam pangkal paha pesakit.
Lebih kerap berlaku kepada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas, ia selalunya disebabkan oleh dinding otot badan di bahagian ari-ari dan sekitarnya yang lemah membuatkan lapisan dalam boleh terkeluar apabila berlaku tekanan.
Hernia dalam kalangan lelaki dewasa dilihat jarang dibincang atau diperkatakan. Mungkin kerana ia dilihat sebagai satu isu yang sensitif apabila melibatkan masalah berkaitan dengan kawasan alat sulit lelaki.
Ditambah pula ia jarang menyebabkan gejala seperti sakit walaupun benjolan kelihatan di bahagian tersebut dan kadang-kadang ia hilang terutama apabila dalam keadaan baring atau selepas ia ditolak ke dalam membuatkan pesakit tidak mengambil serius akan masalah tersebut.
Namun, menurut Perunding Bedahan Am, Payudara dan Endokrin, Tropicana Medical Centre, Dr. Zamzuri Zakaria, masalah hernia ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika lambat mendapatkan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mampu membawa maut.
“Hernia ialah benjolan tidak normal yang berlaku dari satu kaviti ke kaviti lain. Hernia yang paling sering ditemui ialah hernia inguinal yang muncul di kawasan sekitar ari-ari dan pangkal peha. Malah benjolan tersebut boleh besar sehingga ke bahagian kerandut kerana bahagian otot dinding kulit yang lemah terlalu besar.
“Komplikasi boleh berlaku apabila bahagian yang terkeluar contohnya usus, mati akibat halangan untuk masuk kembali dan tisu tersebut tercekik di laluan tersebut lalu menyebabkan iskimia iaitu darah tidak dapat mengalir ke bahagian tersebut dan akhirnya gangren.
“Jika kuman sudah mula menyerang bahagian yang telah mati itu, ia boleh mengancam nyawa. Sebab itu pengesanan dan rawatan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” terangnya ketika ditemui di Tropicana Medical Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Ujarnya, tiada ubat yang boleh merawat masalah hernia, ia hanya boleh dihilangkan melalui pembedahan sahaja dan tegasnya pesakit perlu bertemu dengan pakar bedah yang bagus kerana komplikasi bahagian yang memerlukan pembedahan tersebut.
No comments:
Post a Comment