Monday, December 26, 2016

Urutan Tidak Hilangkan Angin Pasang



Tiada rawatan lain buat masalah hernia atau angin pasang melainkan pembedahan sahaja. Atas faktor tersebut, ramai yang rasa takut untuk bertemu dengan doktor dan terus membuat pilihan dengan membiarkan sahaja masalah hernia itu ataupun mendapatkan rawatan cara tradisional seperti mengurut.

Tegas Dr. Zamzuri Zakaria, urutan tidak merawat masalah tersebut. Ia mungkin kelihatan berkesan kerana lapisan tisu atau organ tersebut berjaya ditolak masuk ke dalam sedangkan ia hanya bersifat sementara dan boleh terkeluar kembali malah boleh menyebabkan ia membengkak kerana tekanan.

“Pembedahan hernioplasty mesh dilakukan iaitu isi yang terkeluar akan dimasukkan kembali ke tempat asal dan kemudian saluran tersebut ditutup serta otot yang longgar itu diketatkan dengan meletakkan mesh (jaringan khas).
“Badan kita akan bereaksi dengan mesh tersebut lalu mengetatkan kembali otot longgar yang menghalang lapisan dalam daripada terkeluar kembali,” terangnya.

Hernia inguinal
Hernia inguinal berlaku apabila usus atau pundi kencing terkeluar di bahagian dinding abdomen atau ke dalam pangkal paha. Kira-kira 96 peratus daripada semua hernia pangkal paha adalah inguinal dan yang paling sering berlaku dalam kalangan lelaki kerana kelemahan semula jadi di kawasan ini dan sering dikaitkan dengan penuaan dan berulang tekanan pada abdomen.

Hernia femoral
Hernia femoral juga berlaku apabila tisu lemak atau sebahagian usus terjulur keluar melalui dinding otot kulit yang lemah di kawasan ari-ari, pangkal paha atau atas paha dalaman anda cuma di lokasi yang sedikit berbeza. Ia jarang berlaku berbanding hernia inguinal dan cenderung terjadi kepada lebih ramai wanita daripada lelaki. Seperti hernia inguinal, hernia femoral juga dikaitkan dengan penuaan dan tekanan berulangan pada abdomen.

Hernia umbilikal
Hernia umbilikal berlaku apabila tisu lemak atau sebahagian usus terjulur menerusi abdomen keluar ke pusat. Hernia umbilikal boleh berlaku pada bayi jika pembukaan di bahagian abdomen di mana laluan tali pusat tidak tertutup dengan betul selepas kelahiran. Orang dewasa juga boleh mengalaminya, mungkin akibat daripada ketegangan berulangan pada abdomen.
Hernia hiatus
Hernia hiatus berlaku apabila sebahagian daripada perut menolak sehingga ke dada anda dengan melolos melalui lubang pada diafragma (lembaran nipis otot yang memisahkan dada dari abdomen). Hernia jenis ini mungkin tidak mempunyai apa-apa gejala yang ketara, walaupun ia boleh menyebabkan pedih ulu hati pada sesetengah orang. Tidak begitu jelas apa yang menyebabkan hernia hiatus, tetapi ia boleh terjadi hasil daripada diafragma yang lemah kerana usia yang meningkat atau tekanan pada abdomen.

Hernia insisi
Ia merupakan hernia yang terjulur di bahagian luka pembedahan di perut anda yang belum sembuh sepenuhnya.

Hernia epigastrik
Di mana tisu lemak menembusi bahagian abdomen anda antara pusat dan bahagian bawah tulang dada (sternum).

Hernia spigelian
Sebahagian daripada usus anda terjulur ke dalam abdomen ditepi otot perut dan di bawah pusat anda.

Hernia diaphragmatic
Di mana organ-organ dalam perut bergerak ke dalam dada melalui lubang pada diafragma; ini juga boleh memberi kesan kepada bayi jika diafragma mereka tidak berkembang dengan baik di dalam rahim.
Hernia otot
Sebahagian daripada otot yang terjulur melalui abdomen. Ia sering terjadi dalam otot kaki akibat kecederaan sukan.
Tambah Dr. Zamzuri terdapat dua pilihan pembedahan iaitu melalui laparoskopi atau konvensional. Pembedahan konvensional di mana satu insisi dilakukan bagi pakar bedah menolak hernia tersebut kembali ke dalam perut manakala laparoskopi pula kurang invasif, tetapi lebih sukar, teknik yang mana beberapa lubang kecil dilakukan membuatkan parut tidak kelihatan.

Pesakit yang menghidapi hernia perlu segera bertemu doktor terutamanya jika tiba-tiba mengalami sakit teruk, muntah, sembelit atau angin, hernia berubah sifat iaitu keras atau lembut, atau tidak boleh ditolak ke dalam semula.
Gejala-gejala ini mungkin bermakna bahawa sama ada bekalan darah ke bahagian organ atau tisu yang terperangkap dalam hernia telah terputus (tercekik) atau bahagian usus telah memasuki hernia dan disekat (halangan) dan keadaan ini memerlukan rawatan dengan segera.

Faktor tinggikan risiko
Pada asasnya, semua hernia adalah disebabkan oleh gabungan tekanan dan pembukaan atau kelemahan otot atau fasia; tekanan berulangan tersebut menolak organ atau tisu melalui pembukaan atau tempat yang lemah. Kadang-kadang kelemahan otot itu berlaku sejak lahir tetapi ia lebih kerap berlaku ketika dewasa akibat beberapa faktor.
Apa-apa sahaja yang menyebabkan peningkatan tekanan di dalam abdomen boleh menyebabkan hernia, termasuk mengangkat objek berat melebihi kemampuan otot abdomen seperti mengangkat berat di gim, cirit-birit atau sembelit dan batuk berterusan atau bersin.

Selain itu, ujar Dr. Zamzuri, obesiti, pemakanan yang tidak seimbang dan merokok juga boleh melemahkan otot dan membuat hernia lebih cenderung berlaku.

Angin Pasang Lelaki Dewasa



HERNIA atau lebih dikenali dengan nama angin pasang sering dikaitkan dengan masalah yang berlaku dalam kalangan kanak-kanak dari peringkat bayi lagi.

Namun sebenarnya, hernia sering menyerang orang dewasa terutamanya lelaki dan jenis hernia yang paling kerap menyerang lelaki ialah hernia inguinal iaitu apabila tisu lemak omentum atau sebahagian usus terjulur keluar di kawasan ari-ari, kelangkang atau dalam pangkal paha pesakit.

Lebih kerap berlaku kepada lelaki yang berusia 50 tahun ke atas, ia selalunya disebabkan oleh dinding otot badan di bahagian ari-ari dan sekitarnya yang lemah membuatkan lapisan dalam boleh terkeluar apabila berlaku tekanan.
Hernia dalam kalangan lelaki dewasa dilihat jarang dibincang atau diperkatakan. Mungkin kerana ia dilihat sebagai satu isu yang sensitif apabila melibatkan masalah berkaitan dengan kawasan alat sulit lelaki.

Ditambah pula ia jarang menyebabkan gejala seperti sakit walaupun benjolan kelihatan di bahagian tersebut dan kadang-kadang ia hilang terutama apabila dalam keadaan baring atau selepas ia ditolak ke dalam membuatkan pesakit tidak mengambil serius akan masalah tersebut.

Namun, menurut Perunding Bedahan Am, Payudara dan Endokrin, Tropicana Medical Centre, Dr. Zamzuri Zakaria, masalah hernia ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika lambat mendapatkan rawatan, ia boleh menyebabkan komplikasi yang mampu membawa maut.

“Hernia ialah benjolan tidak normal yang berlaku dari satu kaviti ke kaviti lain. Hernia yang paling sering ditemui ialah hernia inguinal yang muncul di kawasan sekitar ari-ari dan pangkal peha. Malah benjolan tersebut boleh besar sehingga ke bahagian kerandut kerana bahagian otot dinding kulit yang lemah terlalu besar.

“Komplikasi boleh berlaku apabila bahagian yang terkeluar contohnya usus, mati akibat halangan untuk masuk kembali dan tisu tersebut tercekik di laluan tersebut lalu menyebabkan iskimia iaitu darah tidak dapat mengalir ke bahagian tersebut dan akhirnya gangren.

“Jika kuman sudah mula menyerang bahagian yang telah mati itu, ia boleh mengancam nyawa. Sebab itu pengesanan dan rawatan awal amat penting bagi mengelakkan sebarang komplikasi,” terangnya ketika ditemui di Tropicana Medical Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Ujarnya, tiada ubat yang boleh merawat masalah hernia, ia hanya boleh dihilangkan melalui pembedahan sahaja dan tegasnya pesakit perlu bertemu dengan pakar bedah yang bagus kerana komplikasi bahagian yang memerlukan pembedahan tersebut.

Wuduk Baik Untuk Kesihatan

SAUDARA PENGARANG, Mungkin kita tidak menyedari tentang kelebihan berwuduk dari sudut kesihatan. Antara kelebihan berwuduk, diri kita sentiasa bersih. Selain itu wuduk dapat menghindarkan kita daripada bahaya keracunan antaranya perbuatan memasukkan air ke dalam hidung.

Keracunan itu terjadi kerana adanya pertumbuhan bakteria berbahaya dalam lubang hidung. Dari lubang hidung ini, bakteria boleh masuk ke dalam usus sehingga menimbulkan radang dan berbagai-bagai penyakit terutama apabila bakteria itu telah masuk melalui peredaran darah.

Adapun berkumur-kumur dalam wuduk telah terbukti dapat menjaga mulut dan tekak daripada sisa-sisa makanan yang barangkali masih tersisa di dalam mulut. Membasuh wajah, dua tangan hingga ke siku dan dua tela­pak kaki memiliki manfaat dalam menghilangkan debu dan bakteria.

Di samping itu wuduk juga mampu membersihkan wajah daripada kandungan lemak yang keluar dari kelenjar kulit dan keringat. Inilah antara kelebihan berwuduk.

Tetapi apa yang lebih pen­ting Rasulullah SAW dalam satu hadis telah menerangkan mengenai kelebihan berwuduk yang antara lain anggota berwuduk itu akan mengeluarkan cahaya ketika akhirat kelak.

Rasulullah bersabda: “Se-sungguhnya umatku akan dipanggil pada hari kiamat nanti dalam keadaan, dahi, dua tangan dan kaki mereka bercahaya kerana wuduk.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

NURHAYATI NOOR RAHMAT
Jitra, Kedah.
- See more at: http://www.utusan.com.my/rencana/forum/wuduk-baik-untuk-kesihatan-1.336259#sthash.shA02kFj.dpuf

Berkhatan Elak Penyakit Kelamin

SUDAH menjadi tradisi, majlis berkhatan beramai-ramai dibuat pada musim cuti persekolahan hujung tahun. Dalam Islam, berkhatan diwajibkan untuk memastikan kemaluan bersih daripada kekotoran atau najis di bawah lebihan kulit bagi membolehkan segala ibadah khususnya solat sah dilakukan.
Dari segi perubatan, berkhatan dapat mengelakkan seseorang daripada mengalami keradangan alat kelamin dan penyakit berjangkit daripada hubungan seks. Malah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga mengakui berkhatan juga mampu mengurangkan risiko jangkitan virus HIV. Ini kerana melalui berkhatan, kemaluan mudah dibersihkan dan jarang terkena infeksi kemaluan serta penyakit seksual seperti AIDS, Syphilis, Gonorrhea dan lain-lain.
ABD. RAZAK OSMAN
Sungai Petani, Kedah

Asal Usul Nama Nyamuk



This is Jambu