Tiada rawatan lain buat masalah hernia atau angin pasang melainkan pembedahan sahaja. Atas faktor tersebut, ramai yang rasa takut untuk bertemu dengan doktor dan terus membuat pilihan dengan membiarkan sahaja masalah hernia itu ataupun mendapatkan rawatan cara tradisional seperti mengurut.
Tegas Dr. Zamzuri Zakaria, urutan tidak merawat masalah tersebut. Ia mungkin kelihatan berkesan kerana lapisan tisu atau organ tersebut berjaya ditolak masuk ke dalam sedangkan ia hanya bersifat sementara dan boleh terkeluar kembali malah boleh menyebabkan ia membengkak kerana tekanan.
“Pembedahan hernioplasty mesh dilakukan iaitu isi yang terkeluar akan dimasukkan kembali ke tempat asal dan kemudian saluran tersebut ditutup serta otot yang longgar itu diketatkan dengan meletakkan mesh (jaringan khas).
“Badan kita akan bereaksi dengan mesh tersebut lalu mengetatkan kembali otot longgar yang menghalang lapisan dalam daripada terkeluar kembali,” terangnya.
Hernia inguinal
Hernia inguinal berlaku apabila usus atau pundi kencing terkeluar di bahagian dinding abdomen atau ke dalam pangkal paha. Kira-kira 96 peratus daripada semua hernia pangkal paha adalah inguinal dan yang paling sering berlaku dalam kalangan lelaki kerana kelemahan semula jadi di kawasan ini dan sering dikaitkan dengan penuaan dan berulang tekanan pada abdomen.
Hernia femoral
Hernia femoral juga berlaku apabila tisu lemak atau sebahagian usus terjulur keluar melalui dinding otot kulit yang lemah di kawasan ari-ari, pangkal paha atau atas paha dalaman anda cuma di lokasi yang sedikit berbeza. Ia jarang berlaku berbanding hernia inguinal dan cenderung terjadi kepada lebih ramai wanita daripada lelaki. Seperti hernia inguinal, hernia femoral juga dikaitkan dengan penuaan dan tekanan berulangan pada abdomen.
Hernia umbilikal
Hernia umbilikal berlaku apabila tisu lemak atau sebahagian usus terjulur menerusi abdomen keluar ke pusat. Hernia umbilikal boleh berlaku pada bayi jika pembukaan di bahagian abdomen di mana laluan tali pusat tidak tertutup dengan betul selepas kelahiran. Orang dewasa juga boleh mengalaminya, mungkin akibat daripada ketegangan berulangan pada abdomen.
Hernia hiatus
Hernia hiatus berlaku apabila sebahagian daripada perut menolak sehingga ke dada anda dengan melolos melalui lubang pada diafragma (lembaran nipis otot yang memisahkan dada dari abdomen). Hernia jenis ini mungkin tidak mempunyai apa-apa gejala yang ketara, walaupun ia boleh menyebabkan pedih ulu hati pada sesetengah orang. Tidak begitu jelas apa yang menyebabkan hernia hiatus, tetapi ia boleh terjadi hasil daripada diafragma yang lemah kerana usia yang meningkat atau tekanan pada abdomen.
Hernia insisi
Ia merupakan hernia yang terjulur di bahagian luka pembedahan di perut anda yang belum sembuh sepenuhnya.
Hernia epigastrik
Di mana tisu lemak menembusi bahagian abdomen anda antara pusat dan bahagian bawah tulang dada (sternum).
Hernia spigelian
Sebahagian daripada usus anda terjulur ke dalam abdomen ditepi otot perut dan di bawah pusat anda.
Hernia diaphragmatic
Di mana organ-organ dalam perut bergerak ke dalam dada melalui lubang pada diafragma; ini juga boleh memberi kesan kepada bayi jika diafragma mereka tidak berkembang dengan baik di dalam rahim.
Hernia otot
Sebahagian daripada otot yang terjulur melalui abdomen. Ia sering terjadi dalam otot kaki akibat kecederaan sukan.
Tambah Dr. Zamzuri terdapat dua pilihan pembedahan iaitu melalui laparoskopi atau konvensional. Pembedahan konvensional di mana satu insisi dilakukan bagi pakar bedah menolak hernia tersebut kembali ke dalam perut manakala laparoskopi pula kurang invasif, tetapi lebih sukar, teknik yang mana beberapa lubang kecil dilakukan membuatkan parut tidak kelihatan.
Pesakit yang menghidapi hernia perlu segera bertemu doktor terutamanya jika tiba-tiba mengalami sakit teruk, muntah, sembelit atau angin, hernia berubah sifat iaitu keras atau lembut, atau tidak boleh ditolak ke dalam semula.
Gejala-gejala ini mungkin bermakna bahawa sama ada bekalan darah ke bahagian organ atau tisu yang terperangkap dalam hernia telah terputus (tercekik) atau bahagian usus telah memasuki hernia dan disekat (halangan) dan keadaan ini memerlukan rawatan dengan segera.
Faktor tinggikan risiko
Pada asasnya, semua hernia adalah disebabkan oleh gabungan tekanan dan pembukaan atau kelemahan otot atau fasia; tekanan berulangan tersebut menolak organ atau tisu melalui pembukaan atau tempat yang lemah. Kadang-kadang kelemahan otot itu berlaku sejak lahir tetapi ia lebih kerap berlaku ketika dewasa akibat beberapa faktor.
Apa-apa sahaja yang menyebabkan peningkatan tekanan di dalam abdomen boleh menyebabkan hernia, termasuk mengangkat objek berat melebihi kemampuan otot abdomen seperti mengangkat berat di gim, cirit-birit atau sembelit dan batuk berterusan atau bersin.
Selain itu, ujar Dr. Zamzuri, obesiti, pemakanan yang tidak seimbang dan merokok juga boleh melemahkan otot dan membuat hernia lebih cenderung berlaku.